Selasa, 13 Januari 2009

Kita nak buat apa?

Seperti yang dijangkakan, Israel masih belum berhenti menggodam bumi Palestin. Semakin ramai telah terbunuh dek serangan Yahudi pengecut dan bacul ini. Apa yang kita harapkan, semoga Allah mengurniakan kebesaran mati Syahid kepada saudara kita yang terkorban di sana...insyaAllah. Kita di sini pula masih boleh lagi bertepuk tampar, bergelak tawa dan bersenggol-senggolan antara satu sama lain. Jadi apakah yang kita boleh lakukan untuk membantu saudara kita di sana? Adakah cukup hanya dengan berdemonstrasi dan memegang sepanduk mengutuk Yahudi sahaja?
Ada orang yang memberi pendapat kita boleh memboikot produk-produk buatan Israel dan Amerika Syarikat untuk menunjukkan kuasa protes kita kepada kezaliman ini. Namun adakah protes kita akan berjaya? Adakah dengan protes kita Yahudi akan behenti menghentam umat Islam? Saya rasa tidak, malah perbuatan memboikot hanya akan merugikan kita semula. Tidak bermakna di sini saya menyokong Israel atau Amerika, tetapi sebenarnya tindakan memboikot hanya akan merugikan kita semua. Saya ada beberapa sebab:
Tindakan memboikot barangan Amerika Syarikat akan memberi kesan langsung kepada ekonomi Malaysia secara total dan pantas. Contohnya, kalau kita betul-betul hendak memboikot barangan mereka, bukan sekadar hanya KFC atau PizzaHut yang patut diboikot malah produk-produk penting seperti cip Intel juga harus diboikot! Jadi kalau kita hendak boikot Intel, kita hendak guna cip apa? AMD? AMD juga sebuah syarikat Amerika. Kita tidak boleh hipokrit dalam hal ini kerana kalau asyik melaungkan "kami tidak akan menggunakan Colgate, tak akan singgah ke KFC dan lain-lain" tetapi pada masa yang sama masih pakai telefon bimbit Motorola (USA), cip Intel (USA), komputer HP/Dell (USA)!!!! Bukankah itu hipokrit? Hipokrit adalah salah satu ciri munafik, ini yang kita takut.
Satu lagi masalah besar, kalau kita hendak betul-betul boikot, sekarang ini kita harus mengarahkan semua syarikat multinasional Amerika dan sekutunya yang menyokong Israel keluar dari Malaysia. Habis, cuba bayangkan berapa ratus ribu pekerja akan hilang pekerjaan, tidak termasuk lagi kesan negatif kepada ekonominegara yang sangat dasyat! Adakah kita mahu lihat negara ini terumbang-ambing dalam keadaan ekonomi dunia yang sedia meleset sekarang ini?
Dan kesan yang paling besar adalah pemboikotan barangan Malaysia! Kalau kita boikot Intel, Motorola, KFC dan sebagainya, mereka juga akan melakukan perkara yang sama. Minyak sawit, getah, balak Malaysia akan dipulaukan dan tidak dibenarkan untuk perdagangan antarabangsa. Kita harus ingat jika ini berlaku, alamatnya Malaysia tidak akan bertahan lama! Komoditi Malaysia akan diharamkan secara tidak langsung oleh Amerika melalui proksi Zionis untuk menghancurkan kita. Kita juga harus ingat satu fakta ini; rakan terbesar perdagangan Malaysia adalah Amerika Syarikat! Memboikot secara langsung terang-terangan hanya meruntuhkan ekonomi Malaysia secara langsung.
Harus juga diingat masih banyak persenjataan tentera kita dibeli dari negara luar, khususnya Amerika Syarikat. Jadi kalau hendak betul-betul boikot, maka takkanlah kita nak buangkan segala senapang M-16 kita dan pesawat pejuang Hornet ke dalam laut begitu sahaja? Itu tindakan yang tidak realistik. Malah baru-baru ini Malaysia sudahpun setuju untuk membeli sejumlah besar rifel baru untuk tentera kita, rifel jenis M4 Carbin yang juga merupakan buatan/paten daripada Amerika Syarikat. Perbuatan memboikot secara langsung sebenarnya langsung tidak menguntungkan kita malah akan merugikan negara.
Cara yang lebih baik untuk menekan Amerika Syarikat atau Israel bukan dengan memboikot tetapi menggunakan kaedah tekanan perdagangan secara tidak langsung. Sebagai contoh, kita boleh mempergiatkan perdagangan dengan negara-negara lain seperti Rusia, China, Iran dan sebagainya sebagai tanda protes secara tidak langsung. Contoh mudah dapat kita lihat apabila Malaysia membeli pesawat pejuang Sukhoi SU-30MKM daripada Rusia. Sebenarnya tindakan Malaysia ini adalah suatu tekanan kepada Amerika Syarikat supaya lebih adil dalam hal-hal pembelian alatan persenjataan kepada Malaysia. Malaysia telah membeli sejumlah pesawat F/A-18D Hornet daripada Amerika dalam tahun 90-an. Namun yang peliknya Amerika telah menahan sejumlah teknologi penting atau persenjataan penting untuk kegunaan pesawat tersebut (peluru berpandu AMRAAM AIM-120 yang mempunyai jarak sederhana). Jadi tindakan Amerika ini mengecewakan Malaysia dan selepas itu Malaysia mempunyai kecenderungan untuk memiliki pesawat buatan Rusia (Malaysia telahpun memiliki Mig-29N buatan Rusia pada tahun 1994). Cara ini lebih realistik untuk menekan Amerika untuk berlaku lebih adil kepada negara-negara lain daripada terus hentam keromo memboikot barangan mereka.

1 ulasan:

ChuHasDa berkata...

yes u'r correct...malaysia ni kecik aje, dalam peta dunia, malaysia ibarat kepala mancis sahaja...justeru senang utk amerika menunjukkan taringnya kepada kita..bukan soal takut atau tidak berani, tapi kita kena igt bahawa susur galur ekonomi kita masih lagi berteraskan mereka...

memboikot barangan mmg sng, tp selama mana? mmg produk tersebut (colgate, kfc, pizzahut dan lain2) berasal dr sana, tp hakikatnya kiosk dan kilang tersebut merupakan hak milik anak tempatan..justeru jika diboikot, bayangkan berapa ramai pekerja (anak tempatan dan wrga luar) harus dibuang? nagaimana kelangsungan hidup meraka dan ahli keluarga mereka?

tindakan malaysia yang beralih "angin" memilih produk selain US membawa impak yg besar kerana ia mmpu utk mengajar US supaya tidak terus menganggap negara yang kecil ini dungu kerana didalam negara sekecil malaysia warganya terdiri dari cerdik pandai...